KEPELBAGAIAN BANGSA MALAYSIA
Malaysia mepunyai pelbagai kaum dan adat resam,antara kaum
yang utama ialah kaum melayu,cina,dan india Kepentingan adat resam di dalam
hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat
yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah
kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam
merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang
dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.
ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU
Adat resam kelahiran Wanita yang mengandungkan anak sulung
akan menjalankan upacara melenggang perut oleh seorang bidan .Adat ini juga
dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung
Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini
dilakukan kepada wanita yang mempunyai kandungan berusia dalam lingkungan tujuh
atau lapan bulan.Adat ini dijalankan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang
mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan
bayi di dalam perut.Bidan akan menyambut bayi dengan jampi serapah dan daun
sirih akan disemburkan kepada bayi itu. Selepas bayi dibersihkan, tali pusat
bayi akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping
wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan
cincin emas. Lazimnya tali pusat bayi akan tertanggal dalam tempoh seminggu dan
adat cuci lantai atau adat naik buai akan diadakan.Adat ini sebaiknya dilakukan
pada hari isnin dan khamis .Adat cukur rambut ini dilakukan pada hari ketujuh
selepas dilahirkanl dan kebiasaannya Kenduri nasi kunyit dan doa selamat akan
diadakan pada hari tersebut.Upacara naik buai bermaksud bayi tersebut akan
diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias
indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan
ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau
marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga
telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini.
Adat merisik juga dipanggil meninjau atau menengok.Tujuan
adat ini dilakukan bagi memastikan si gadis masih belum berpunya kerana islam
melarang meminang tunangan orang.Tujuan utama adat ini dilakukan bagi
menyelidik latar belakang si gadis dan selalunya dijalankan oleh suadara mara
terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.Pihak si gadis akan
mempertimbangkan dahulu lamaran sebelum membuat apa-apa jawapan.Adakalanya semasa
merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa
cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh
untuk peminangan. pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar
satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga
terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang
sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding
untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di
samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan
jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan
pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak. Upacara
ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada
wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering
digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis.Acara kemuncak
majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang
terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan
atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah
pertunangan tersebut. Semasa majlis perkahwinan,pengantin lelaki akan diarak
dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak
menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan
disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut
kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke
halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan. Pada kebiasaannya,
persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan.
Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding
pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan
di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan
pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu
atau tebus pelamin.Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut
dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bunga telur
pada hari tersebut.
Semasa Kematian
Apabila berlaku kematian, keluarga si mati akan memberitahu
kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan kepada saudara mara dan
jiran tetangga di sekitar kawasan itu.Mayat akan ditutup dari kepala hingga ke
kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua
tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke
dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran.
Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan
kemenyan akan dibakar. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang
mungkin.Mayat dimandikan oleh tukang mandi mayat barsama ahli keluarga dengan
tertib dan cermat. Jenazah akan di kapankan dengan cara membalut badan mayat
dengan kain putih dan dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai
penghormatan terakhir, ahli keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup
mayat tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat
seterusnya disembahyangkan samada di rumah atau di masjid.Sebelum jenazah dimasukkan
ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan memberi ucapan ringkas
dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika selama hayatnya beliau
pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga akan meminta supaya
mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar dapat dihalalkan
ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda
diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah
keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati.Jenazah akan
dikebumikan dan upacara membaca talkin akan dijalankan oleh tok imam berserta
doa, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke
bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur .Kenduri arwah
dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat
dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh
empat atau keseratus hari
ADAT RESAM MASYARAKAT CINA.
Masyarakat cina mempunyai banyak pantang larang seperti
tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi
yang lahir akan mengalami kecacatan, mengawal tingkah laku dan mereka juga
digalakkan bekerja supaya mudah bersalin dan Sebarang konflik atau perselisihan
perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan.Masyarakat
cina melarang member nama semasa mengandung dan tidak digalakkan terlalu kerap
menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang
manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali
makan makanan yang tajam seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan makan
banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu
sukar untuk bersalin.
Selepas Lahir
Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa
berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk
kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan
dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan
perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Dari segi
pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras
yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam,
halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai
dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin disamping
menguatkan semula tenaga.
Memberi Nama
Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan
nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi di kalangan
adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan
diri sendiri.Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti
lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan. Nama mestilah dibuat berdasarkan
kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan
seelok-eloknya sepadan. Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur Yin
dan Yang yang sama berat dan mempunyai lima unsur iaitu emas, air, api, tanah
dan kayu serta saling melengkapi.
adat resam perkahwianan
Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang
gadis yang dihajati dan ingin mengetahui keturunan, peribadi, watak dan tingkah
laku si gadis. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu
bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan
keluarga si gadis atau mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran
dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini dapat mengeratkan
perhubungan di antara kedua belah keluarga.Setelah kedua-dua pihak berpuas hati
dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan.
Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan
perkara-perkara berkaitan perkahwinan dan majlis pertunangan akan dijalankan
selepas itu. Majlis pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia
hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat
tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada
sebuah buku iaitu Toong-Su. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung
ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin
dilakukan mengikut masa yang ditetapkan.Si gadis berkenaan akan menyerahkan
sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh
lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Tukang tilik akan menghitung hari
dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai
kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Setelah mendapat tarikh dan masa yang
sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada
lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi
peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin
merangkumi adat-adat tertentu. Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa
upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat
perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Sekiranya pihak lelaki
tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan,
sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin,
keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan
dibuat dengan pengantin perempuan.
Majlis Perkahwinan
Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun
bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli
keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan
ataupun selama seratus hari. Pengantin akan memakai pakaian yang diperbuat
daripada kain sutera dan disulam benang emas. Baju pengantin sebaik-baiknya
bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu
kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.
Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih
diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang
tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si
isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan
kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang
disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Kemuncak upacara perkahwinan
masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini
diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran.
Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan
pengantin,akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan
menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan
beberapa orang saksi.
Adat Resam kematian
Selepas mayat dimandikan,mayat akan disapu dengan minyak
wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila
berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan dengan pakaian
yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika hari
perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina menyimpan
pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Kemudian mayat akan
dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik
mengikut status si mati. Ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai
dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu
dilakukan dengan kuat dan diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati
telah membuat banyak jasa apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah
diusung ke kawasan perkuburan. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang
melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk mententeramkan si mati
agar tidak disoal di alam akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga terutama ibu
bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan ini digalakkan dalam masyarakat
Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan mengupah lebih ramai untuk menangisi
si mati. Tangisan ini seolah-olah menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat
handai terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat
dikebumikan. Semasa mengiring mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai
jenis lagu akan mengiringinya. Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si
mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi
warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang
berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga
si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi. Kemudian mereka
akan memakai baju jejaring yang diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini
dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan
lori khas, beberapa kertas yang disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang
perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk
memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.
ADAT RESAM MASYARAKAT INDIA
Adat resam kelahiran
Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana
ia akan dicatat dengan tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak
Hindu. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang
berpengetahuan tinggi mengenai agama Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram
iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi sebelum tali pusat dipotong. Bayi
yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya.
Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu
juga kadangkala digunakan untuk kecantikan dan supaya bayi tidak diserang
sebarang penyakit.Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu
dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadi pelawas dalam sistem
penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut. Bayi yang dilahirkan di
hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya
iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara
aalati dilakukan untuk mengelak bala atau sebarang malapetaka dariapada
berlaku.Ibu dan bayi akan diasingkan dari ahli keluarga dan orang luar dilarang
melawat kecuali untuk tujuan perubatan selama dua minggu. Amalan mendodoi bayi
merupakan upacara yang paling penting dalam masyarakat India. Upacara mendodoi
ini juga dikenali sebagai taalaattu bermaksud penggoyangan lidah. Upacara
dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau cerita-cerita nasihat. Ia
bertujuan agar bayi tersebut menjadi seorang yang berguna. Sebaik sahaja bayi
berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan.. Upacara pemujaan
dilakukan dengan membersihkan sekeliling rumah dan memasang lampu minyak di
keliling rumah. Bahan-bahan persembahan juga disediakan seperti kari ayam
betina, telur rebus, ikan kering dan sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke
dalam buaian dan namanya diumumkan pada orang ramai. Saudara mara yang hadir
akan memberi pelbagai hadiah dan upacara diakhiri dengan jamuan dan upacara
sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi. Dalam peringkat merisik,
selalunya maklumat mengenai gadis tersebut diperolehi secara langsung dari
pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan
saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taragar akan
membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil
alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar. Adat penyesuaian bakal pengantin
dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam
ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil
kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan
dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu Tina
poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka
poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya
poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam. Kunjungan Ke Rumah Pengantin
Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat
sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen
paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri.
Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun
bilangan tersebut ramai. Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana,
buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini
dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk
mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran
tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang
datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.
Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan
dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin
lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu
bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang
termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan.
Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat
pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin
lelaki. Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan
kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam
jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa,
sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan
kepada wakil perempuan. Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin
perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan
tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia,
perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak
pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji. Bakal pengantin lelaki
seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini
bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan
kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar
sirih pinang yang dinamakan taambuulam matrutal. Kemudian mereka akan
membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin
perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan
dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.
Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India.
Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat
kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad
jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang
keharmonian. Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa
bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad diletakkan di atas
dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang dan sebagainya sebagai
lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai paanam paaku. Kemudian dulang
akan dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki
dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan diberikan
sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi. Thaali atau tjirumaangalyam
merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan oleh pengantin lelaki di
leher pengantin perempuan.. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau
sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas,
cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. Ini
adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai untuk membuat
thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di
tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali.
Pihak pengantin adalah dilarang untuk menawar perkhidmatan
yang dilakukan oleh pembuat thaali. Selepas itu upacara sembahyang dilakukan
dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis dan
nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin.
Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Adat mukuurtta
kaal akan diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk
menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan
ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Majlis perkahwinan dimulakan dengan
upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan
lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah
ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu
menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari
sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan
keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan. Upacara perkahwinan dilakukan
oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua.
Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung
cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang
yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada
pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu
bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci
pada dahi pengantin. Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat
restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian
atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu
bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari
(ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan
bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam
sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi
suami isteri.
Sekiranya seseorang
itu telah meninggal dunia. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah
lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang dinyalakan. Kemudian sebiji
kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Kemenyan
dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk suci atau
tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang.mayat akan dibalut
dengan menggunakan kain dan kunyit disapu pada mata untuk membunuh kuman dan seterusnya
duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke
dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas. Air mawar direnjis
dan mayat turut diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya tidak berbau.
Gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan dan barang-barang perhiasan dibawa
keluar dari ruang tamu. Lagu-lagu suci seperti teevaaram, tiruvaasakam dan
seumpamanya dinyanyikan serta diimainkan sehingga ke tanah perkuburan.
Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di
atas katil di ruang tamu atau halaman rumah. Kaum lelaki yang mempunyai
hubungan kekeluargaan dengan si mati sahaja boleh membawa air dalam jumlah yang
ganjil. Air tersebut diperolehi dari sungai, perigi atau sumber-sumber air yang
lain, kecuali air paip. Buyung yang berisi air akan ditutup dengan menggunakan
kain dhoti untuk mengelakkan habuk memasuki air tersebut. Kaum wanita pula akan
menyambut air tersebut yang digunakan untuk memandikan mayat. Sebelum
dimandikan, minyak dan araippu digunakan untuk disapukan pada kepala sebagai
mandian terakhir. Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli keluarga dan diikuti
oleh saudara mara terdekat. Belakang tapak tangan digunakan untuk menyapu
minyak ini dan bukannya menggunakan tapak tangan sebagaimana lazimnya. Mayat
seterusnya dimandikan oleh orang yang telah berumur. Selepas dimandikan, si
mati akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan
dhoti bagi mayat lelaki.
Thaali vaangutal
merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam
sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggal
oleh seorang isteri setelah suamiya meninggal dunia, si isteri akan duduk di
sebelah si mati dan dijirus dengan sebuyung air semasa mayat suaminya
dimandikan. Kemudian bunga akan dikalungkan pada leher balu dan kemudian bunga
tersebut dikalungkan pada si mati. seterusnya seorang wanita yang sudah berusia
dan mempunyai hubungan kekeluargaan akan memegang tangan si mati sambil
mengalungkan kalungan bunga ke leher balu dan proses ini dilakukan sebanyak
tiga kali. Balu tersebut dikehendaki meletakkan kalungan bunga ke dalam dulang
yang berisi minyak, bunga dan susu yang dibawa oleh seorang perempuan lain. Ini
dilakukan seolah-olah menunjukkan si suami membuangkan thaali dari leher balu.
Thaali itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam dulang dan disimpan dalam
rumah.Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam
keranda. Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke
dalam mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian
terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. Sebelum beras dimasukkan ke
dalam mulut mayat, beras akan diarak dari kiri ke kanan. Duit syiling yang
diletakkan di dalam dulang yang sama dibalut dengan kain putih. Ini dilakukan
oleh kaum perempuan sahaja.
Upacara vaaikkarisi
akan dilakukan oleh kaum lelaki di tanah perkuburan pula, justeru itu kaum
perempuan amat dilarang turut serta ke tanah perkuburan. Sekiranya si mati
mempunyai cucu atau cicit, mereka dikehendaki memegang neippantam. Neip
bermaksud minyak sapi dan pantam adalah obor. Beberapa batang kayu kecil akan
dibalut di bahagian hujung dengan menggunakan kain yang disapu dengan minyak
sapi dan dinyalakan. Cucu atau cicit tersebut dikehendaki mengelilingi mayat
mengikut lawan jam sebanyak tiga kali. Pada masa yang sama lagu-lagu suci
dimainkan. Keranda akan ditutup dan diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan,
pada masa yang sama ucapan tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali
sebagai menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli
keluarga akan mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai
tanda penghormatan. Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi
api. Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah
tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli
keluarga si mati samada anak ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa
yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu. Seseorang yang membawa
kollic catti mengiringi mayat. Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki
mencukur rambut. Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti
rambut yang baru tumbuh. Ada juga yang mencukur janggut atau misai sebagai
menggantikan rambut. Pada masa yang sama sebuah nyiru diisikan dengan
bahan-bahan seperti padi goreng, biji sawi dan bijan. Sepanjang perjalanan,
bahan-bahan tersebut ditabur dan setiap bahan-bahan tadi mempunyai perlambangan
yang tersendiri. Mayat orang India akan diusung ke tanah perkuburan dengan
menggunakan pengusung. Apabila tiba di tanah perkuburan, pengusung perlu
membayar duit kepada penyelenggara sebagai upah mengorek liang lahad. Keranda
akan digerakkan beberapa kali sebelum menghampiri liang lahad. Pergerakan
dimulakan dengan dengan mengubah bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian
kepala. Ini adalah seperti pergerakan bayi yang berada di dalam kandungan. Oleh
itu si mati dipercayai berada di dalam perut Dewi Bumi. Kemudian keranda
diletakkan bersebelahan dengan kubur bagi mayat yang dikebumikan atau
diletakkan di atas kayu api unyuk dibakar. Duit syiling dimasukkan ke dalam
dhoti dan diletakkan di antara kaki mayat, lalu diambil oleh pengurus kubur
sebagai tanda keizinan mayat dikebumikan. Setelah itu upacara sembahyang
dilakukan oleh semua yang berada di situ. Pembawa Kollic catti atau buyung
dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali mengikut arah jam. Kemudian
diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic catti dengan menyebut
'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. pada pusingan ketiga, pembawa
kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak menghadap
mayat. Kemudian tiga batang kayu yang menyala dibakar dan disusun ke tanah satu
persatu.
Upacara ini dilakukan untuk mengurangkan kesedihan keluarga
si mati. Setelah mayat dikebumikan, satu bentuk manusia akan dilukis di atas
kubur. Satu lubang akan dibuat di bahagian kepala dan susu akan dicurahkan pada
lubang tersebut. Ada juga yang memasukkan bijirin ke lubang tersebut. Selesai
upacara tersebut, semua yang hadir perlu ke rumah si mati untuk upacara
penyempurnaan adat pengebumian sebelum balik ke rumah. Rumah akan dibersihkan
sebaik sahaja mayat dibawa ke kubur. lampu minyak dinyalakan dibekas tempat
pembaringan mayat dan selepas itu ahli-ahli keluarga dikehendaki mandi untuk
membersihkan diri selepas upacara pengebumian dijalankan. Makanan yang terdiri
daripada sayur-sayuran atau haiwan yang tidak berdarah akan dihidangkan untuk
ahli-ahli keluarga si mati. Sebaldi air akan diletakkan di hadapan rumah dan
lampu minyak sentiasa dinyalakan. selain itu debu suci dan garam disertakan.
Kemudian ahli-ahli keluarga dikehendaki menyentuh garam dan menyapu pada dahi
sebelum masuk ke dalam rumah. Air yang berada di dalam baldi digunakan untuk
mencuci kaki dan selepas itu berakhirlah sudah upacara pengkebumi. Pembawa
kollic catti hendaklah mandi di sungai atau kolam dan kemudian barulah boleh
masuk ke rumah. Ini adalah menunjukkan tamatnya upacara kollic catti.
Abu mayat akan dikumpulkan pada keesokan hari. Susu terlebih
dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Kemudian abu bahagian
kepala dimasukkan ke dalam sebuah periuk , manakala abu yang lain dimasukkan ke
dalam periuk yang berasingan. Abu yang telah dimasukkan ke dalam periuk akan
disembahyangkan oleh ahli keluarga. Terdapat dua cara dalam pengurusan abu
mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu mayat ditanam atau
dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut. Masyarakat India akan
akan berkabung selama lapan atau enam belas hari.Sekiranya mereka berkabung
selepas lapan hari kematian, saudara-mara dan sahabat-handai akan berkumpul di
rumah si mati dengan membawa pelbagai jenis juadah tradisional termasuklah
sayur-sayuran dan buah-buahan. Semua ini dibawa untuk dipersembahkan kepada si
mati. Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding dan
kemudian dikalungkan dengan bunga yang menarik. Di sisi gambar tersebut pula
dinyalakan lampu minyak dan bunga ditabur. Kemudian upacara sembahyang
dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. pada masa yang sama
nyanyian lagu-lagu suci dimainkan. setelah itu makanan dihidangkan kepada para
tetamu.
Berkabung pada hari keenam belas pula dipanggil sebagai
karumaati iaitu hari bersembahyang. Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi
didirikan. Potret si mati dihias dengan cantik dan seorang pedanda dijemput
untuk upacara sembahyang. Batu-bata diikat dengan benang dan dibalut dengan kain
merah dan dimasukkan ke dalam periuk. Kemudian batu tersebut dibasahkan dengan
air, susu, air kelapa muda dan air mawar. Upacara basahan batu-bata itu
dinamakan sebagai kal niruttutal atau upacara mendirikan batu. Pada masa yang
sama lagu-lagu suci dimainkan. Upacara sembahyang dilakukan sebanyak tiga kali.
Setiap kali sembahyang, makanan dihidangkan kepada para tetamu. Sembahyang yang
pertama dilakukan pada pukul sebelas malam. Sembahyang yang kedua dilakukan
pada pukul dua belas malam dan yang ketiga pada awal pagi. Hari berikutnya
pedanda mengambil rumput dan membuat bentuk seperti keranda. Rumput akan
dibakar dan mentera serta doa dibaca, bertujuan agar roh si mati sentiasa dalam
keadaan tenang dan aman. Selesai upacara bersembahyang, pedanda akan dibayar
dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dengan ini,
berakhirlah upacara karumaati.
No comments:
Post a Comment